KATA ALU-ALUAN



 
Bismillahirrahmaanirrahim.
Assalamualaikum wbt. dan Salam Sejahtera.
Bersyukur kita ke  hadrat Ilahi atas limpah kurnia dan rahmatNya dapat kita melalui kesulitan,dugaan dan cabaran dalam tugas membuat persiapan serta persediaan menjelang sesi persekolahan tahun 2015.
Berbekalkan iltizam,keikhlasan dan perancangan yang rapi  serta budaya kerja berkualiti InsyaAllah pada tahun ini kita akan diberi lebih kekuatan dan keberkatan dalam memartabatkan SMK Seri Kampar dan seterusnya meletakkan sekolah ini sebagai sebuah sekolah yang cemerlang sesuai dengan Visi Sekolah iaitu;Pendidikan Berkualiti InsanTerdidik Negara Sejahtera” dan Misi sekolah;” Melestarikan Sistem Pendidikan Yang Berkualiti Untuk Membangunkan Potensi Individu Bagi Memenuhi Aspirasi Negara
Rakan-rakan guru yang dikasihi,
            Slogan SMK Seri Kampar ’Satu Tekad,Satu Rentak,Satu Wawasan’ harus menjadi pembakar semangat  kita untuk mencapai misi dan visi yang telah di tetapkan.Seharusnya semua warga SMK Seri Kampar bekerja mengikut KPI (Key Performance Index)yang dibuat di dalam Sasaran Kerja Tahunan(SKT). Di samping budaya kerja sepasukan, budaya kerja cemerlang dan sikap proaktif warga sekolah adalah amat diharapkan dalam meningkatkan prestasi sekolah ke tahap yang lebih baik.  Kita berada di era terakhir Gelombang 1 (2013-2015) dalam anjakan transformasi PPPM.Warga pendidik perlu melengkapkan diri dan bersedia untuk melaksanakan pdp dengan berkesan,kreatif dan mencungkil,memupuk KBAT dalam kalangan pelajar serta menarik minat/memupuk budaya belajar contohnya  melalui pengintegrasian PDP dengan  ICT   melalui Pembelajaran Maya Frog VLE .
Seharusnya kita komited dalam memastikan takwim yang dirancang ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Kecemerlangan menyeluruh harus kita capai bagi melahirkan modal insan yang kompetitif dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara. Kita harus mengharungi cabaran dalam Gelombang-Gelombang Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) .Tanggungjawab kita dalam  memastikan 11 Anjakan Sistem Pendidikan,5 Aspirasi Sistem dan 6 Aspirasi Murid harap dapat direalisasikan seiring dengan sekolah-sekolah seluruh Malaysia.Maka, anjakan paradigma perlu dilaksanakan bagi memperkasakan budaya kerja kita. Langkah proaktif dan sikap sentiasa siapsiaga perlu diamalkan supaya kita maju bersama dalam menjalani tugas dan tanggungjawab sebagai pendidik di era transformasi global.
Setiap warga sekolah memainkan peranan penting dalam mencapai kecemerlangan sekolah kita. Kejayaan pendidikan di sekolah misalnya banyak bergantung kepada kualiti kerja guru. Sementara barisan pentadbir pula bertanggungjawab untuk merancang dan menguruskan organisasi sekolah dengan berkesan supaya langkah kita sederap dan mampu memberi impak positif terhadap PDP di sekolah. Hal ini membuktikan kitalah sebenarnya peneraju dan penentu halatuju yang menggerakkan bahtera sekolah kita ke mercu kejayaan. Kecemerlangan yang kita dambakan bukanlah semata-mata dari aspek intelektual sahaja, tetapi lebih menyeluruh merangkumi disiplin, kokurikulum, dan sahsiah pelajar.
Justeru saya menyeru kepada warga SMK Seri Kampar   sekalian, marilah kita membulatkan tekad, memantapkan matlamat dan meningkatkan azam untuk mencapai visi dan misi sekolah kita.Usahanya harus kita mulakan hari ini agar dapat kita kecapi manis buahnya di musim menuai kelak.Sebagai tanda syukur kita kepada Allah kerana mencipta kita sebagai khalifah di bumi ini, marilah sama-sama kita laksanakan tugas dan peranan masing-masing dengan amanah. Marilah sama-sama kita tingkatkan usaha penerokaan ilmu dan gunakan kemahiran serta pengalaman kerja kita bagi meningkatkan kualiti diri dan profesion perguruan yang mulia ini supaya pengajaran dan pemudahcaraan berkesan dapat kita laksanakan di sekolah ini.Justeru pendidikan berkualiti yang kita sumbangkan boleh melahirkan anak didik yang cemerlang dalam semua aspek selaras dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
”PENGAJARAN DAN PEMUDAHCARAAN BERKESAN PENYUMBANG KEPADA PENDIDIKAN BERKUALITI.”
Selamat bertugas dan terima kasih.

(Hjh Asmah Binti Abdul Hamid)
Pengetua
SMK Seri Kampar.

No comments:

Post a Comment